Wednesday, April 23, 2008

Nikmat dan Musibah Ujian Kehidupan...

Pengertian

Nikmat ialah semua bentuk kesenangan, kemudahan, dan keselesaan yang diterima oleh seseorang individu.

Antara contoh nikmat ialah:
a) akal fikiran yang bijak dan cerdas.
b) Kesempurnaan dan kesihatan tubuh badan
c) Kesuburan tanah pertanian yang menghasilkan punca rezeki
d) Kesejahteraan dan keharmonian hidup dalam masyarakat
e) Kemakmuran dan keamanan Negara

Musibah pula ialah semua bentuk kesusahan, keperitan, dan kesulitan yang dihadapi oleh seseorang dalam hidup.

Antara contoh musibah yang berlaku ialah:
a) ditimpa dengan pelbagai bentuk penyakit dan kesusahan
b) kelaparan, kebuluran, dan kesempitan hidup
c) kematian ahli keluarga atau orang yang tersayang
d) berlakunya perang dan keadaan huru-hara



Ujian Allah kepada manusia

Setiap manusia di bumi ini tidak terlepas daripada ujian Allah dalam kehidupannya.
Sabda Rasulullah:


عجبا لأمر المؤمن، إن أمره كله له خير. وليس ذلك لأحد إلا للمؤمن. إن أصابته سراء شكر فكان خير له، و إن أصابته ضراء صبر، فكان خير له

Maksudnya:
Sabda Rasulullah S.A.W: "Sesungguhnya cemerlang orang mukmin. Semua perkara baginya adalah baik. Kecemerlangan tersebut tidak ada pada orang lain selain mukmin. Sekiranya menerima nikmat dia bersyukur, dan itu adalah kebaikan untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah dia bersabar dan itu juga adalah kebaikan untuknya." (Riwayat Muslim)

Cara menerima nikmat Allah Ta’ala

Kita wajib bersyukur di atas segala nikmat dan rezeki kurniaan Allah Ta’ala yang tidak terhitung banyaknya. Terdapat tiga cara bersyukur kepada Allah Ta’ala iaitu:

(a) Bersyukur dengan hati
(b) Bersyukur dengan lisan
(c) Bersyukur dengan perbuatan

Bersyukur dengan hati ialah dengan cara meyakini bahawa segala nikmat yang diterima adalah pemberian Allah. Kita juga hendaklah menerima nikmat tersebut dengan penuh reda dan berlapang dada.

Manakala, bersyukur dengan lisan ialah memuji Allah dengan menyebut Alhamdulillah dan membaca doa-doa yang diamalkan oleh Rasulullah ketika menggunakan nikmat Allah Ta’ala seperti ketika hendak makan, bekerja, masuk bilik air, ketika hendak tidur dan bangun tidur dan sebagainya.

Bersyukur dengan perbuatan ialah memberikan bantuan kepada orang yang memerlukan pertolongan, memberikan sumbangan demi kemakmuran negara dan umat Islam sejagat. Selain itu juga, menggunakannnya dengan cara yang terbaik dan boleh mendatangkan faedah.


Akibat tidak bersyukur

Sesuatu nikmat akan ditarik balik oleh Allah Ta’ala dan kehidupan juga tidak akan mendapat keberkatanNya. Malahan akan mendapat seksaan Allah pada hari akhirat kelak.
Seterusnya, kehidupan masyarakat menjadi mundur dan tidak dihormati serta dipandang hina oleh masyarakat bukan Islam.




Cara menerima musibah

1) Menyakini bahawa musibah tersebut adalah ujian daripada Allah terhadap hamba-Nya.

2) Bersabar dan tabah menghadapi musibah tersebut.

3) Tidak berputus asa diatas kesusahan yang dihadapi dan berusaha mengatasi dengan cara yang terbaik.

4) Berdoa memohon pertolongan Allah agar menghilangkan musibah yang dihadapi.

5) Reda di atas musibah dan bertawakal kepada Allah Ta’ala.

6) Mengucapkan “inna lillahi wa inna ilaihi raji’un” apabila ditimpa sesuatu musibah.


Akibat tidak bersabar ketika ditimpa musibah

a) Mendapat kemurkaan Allah
b) Kehidupan menjadi bertambah sempit
c) Kesusahan dan kerumitan hidup tidak dapat diatasi dengan tenang
d) Maruah seseorang akan tercemar dan tidak mendapat penghormatan masyarakat
e) Tidak dapat menyumbang kearah kecemerlangan umat.



Contoh insan yang sabar...

Nabi Ayub A.S

- Nabi ayub diuji oleh Allah Ta’ala dengan penyakit kulit. Kaumnya telah memulau, mengejek, menghina serta memandang rendah baginda kerana penyakit yang dihadapinya. Nabi Ayub menghadapi ujian itu dengan sabar dan tabah. Akhirnya Allah menyembuhkan penyakit Nabi Ayub dan memberi kesihatan yang lebih baik.

Bilal bin Rabah

- Bilal diseksa oleh tuannya kerana beriman kepada Allah Ta’ala. Bilal diseret di padang pasir yang panas terik oleh pemuda-pemuda musyrikin.mereka meletakkan batu besar diatas dadanya supaya Bilal kembali kafir. Bilal tetap bersabar dan menyebut ahad.. ahad.. iaitu hanya Allah Tuhanku Yang Esa. Akhirnya Bilal dibeli dan dibebaskan oleh Saidina Abu Bakar As- Siddiq.